Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah, gembira kembali menyarung sut hijau Petronas dalam Kejuaraan Dunia Superbike (WSBK) musim ini.

Selepas enam tahun berpisah, Hafizh Syahrin, yang mewakili pasukan MIE Honda Racing, kembali bekerjasama dengan Petronas menjelang perlumbaan pusingan pertama WSBK 1000 di Australia hujung minggu ini.

Bagaimanapun, bekas pelumba MotoGP itu menyakui masih bergelut untuk mencari keserasian dengan jenteranya, di mana dia menamatkan sesi latihan bebas di kedudukan kedua tercorot.

Ia jelas mengganggu motivasinya dan Hafizh Syahrin terpaksa mengubah sasarannya bagi musim ini.

"Warna hijau ini memang sudah sebati dengan wajah ataupun perwatakan saya kerana sebelum ini pun saya memang sudah lama dengan Petronas, jadi saya agak gembira juga dapat kembali menyarung warna hijau ini," katanya kepada wartawan Astro Arena, Syen Yeoh.

"Saya sendiri sedar (jentera) saya memang perlahan, di mana saya tidak dapat bersaing dengan pelumba lain di atas litar.

"Apabila saya cuba memaksa, saya dapat rasa ia memang sudah sampai batasnya dan jika saya cuba memaksa lagi, ada risiko besar untuk saya merosakkan jentera saya atau mengalami kemalangan yang boleh membuatkan saya cedera.

"Jadi, saya harap esok sekurang-kurangnya saya dapat berada dalam kelompok 15 teratas.

"Walaupun saya tahu ia agak sukar tetapi itulah sasaran saya untuk tiga pusingan pertama ini," katanya.