England mengesahkan bahawa penyerang Chelsea, Cole Palmer, digugurkan daripada skuad The Three Lions itu menjelang aksi Liga Negara-Negara Eropah (UNL) minggu depan.

Palmer, bersama pemain Aston Villa, Ollie Watkins, pada awalnya disenaraikan oleh ketua jurulatih interim, Lee Carsley, untuk berada dalam pasukan utama tetapi mereka kini difahamkan sudah pulang ke pangkuan kelab masing-masing.

Bintang Manchester City, Phil Foden, juga tidak akan terlibat dalam aksi menentang Republik Ireland dan Finland itu selepas dilaporkan tidak sihat.

Ia sudah pasti menjadi tamparan besar buat Carsley dalam ujiannya untuk mendapatkan jawatan tetap berkenaan memandangkan Palmer merupakan pemain yang amat dikenalinya ketika mengendalikan skuad B-21 England.

England akan bertandang ke laman Republik Ireland awal pagi Ahad ini sebelum melayani kunjungan Finland pada Rabu depan.