'Jika tolak keutamaan skuad negara, saya 'ban' main dalam liga', tegas Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, berhubung pertindihan jadual yang berlaku melibatkan saingan Liga Hoki Nasional dan Piala Dunia Hoki Dalam Dewan Februari depan.

Subahan menjelaskan tiada pertimbangan daripada pihak persatuan untuk memberi ruang berbeza pada mana-mana kelab yang terpaksa melepaskan pemain kebangsaan mereka untuk ke Croatia bagi menghadapi kemunculan kali pertama Malaysia di pentas Kejohanan Dunia Hoki Dalam Dewan.

Untuk rekod, saingan Liga Hoki Malaysia dijadualkan berlangsung 4 Januari hingga 22 Februari sementara saingan Piala Dunia Hoki Dalam Dewan akan bermula pada 3 hingga 9 Februari.


Selain itu, satu perjanjian persefahaman di antara KHM dan Kelab Australia Territory Stingers dimeterai, sebagai jalan keluar mengatasi keperluan skuad kebangsaan mendapatkan aksi luar negara yang menelan belanja besar.

Menerusi kata sepakat ini, sebahagian dari pemain kebangsaan berpeluang beraksi di Liga Australia dengan menjadi sebahagian daripada kekuatan Territory Stingers di penghujung musim hadapan.