Caroline Wozniacki menandakan kepulangannya dalam sukan tenis dengan kemenangan dalam pusingan pertama Terbuka Kanada awal pagi tadi.

Ia selepas lebih tiga tahun bekas pemain nombor satu dunia itu mengumumkan persaraannya daripada sukan berkenaan.

Pemain Denmark berusia 33 tahun itu, yang memilih untuk bersara selepas Terbuka Australia 2020 berikutan perlu memberikan tumpuan terhadap dua anaknya, kelihatan masih berada di tahap terbaik untuk menyingkirkan pemain Australia daripada pusingan kelayakan, Kimberly Birrell, 6-2, 6-2.

"Ia berasa sangat baik, perlawanan pertama saya sepanjang lebih tiga tahun ini dan saya sememangnya agak berkarat," katanya dalam temu bual selepas perlawanan itu.

"Tetapi ia satu tempat yang luar biasa untuk kembali bermain dalam perlawanan pertama saya."

Wozniacki seterusnya akan menghadapi pemain Republik Czech, Marketa Vandrousova, dalam penentuan ke pusingan ketiga.