Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, perlu lebih gigih untuk mengembalikan tahap terbaiknya dalam usaha melayakkan diri ke Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir 2024 di Hangzhou, China, hujung tahun ini.

Dia seakan-akan tiada jawapan dalam permainannya sendiri apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pencabar dari Jepun, Koki Watanabe, dalam pusingan pertama Terbuka China hari ini menerusi straight set.

Menurutnya di Persekutuan Badminton Dunia (BWF): "Saya mendahului agak jauh dalam set pertama dan saya tidak dapat menamatkan set pertama itu.

"Saya masih belum di tahap terbaik. Banyak yang perlu diusahakan untuk kembali ke tahap terbaik.

"Selepas Olimpik, keadaan badan saya agak pelik dan banyak kecederaan berlaku. Apabila saya berlatih dengan ketekalan tertentu, seluruh badan seperti siku, lutut, belakang badan akan terasa sakit.

"Semuanya menjadi kaku. Ini adalah sesuatu yang perlu saya atasi kerana saya perlu kembali ke tahap 100 peratus untuk layak ke peringkat akhir Jelajah Dunia," katanya.