Olimpian negara, Datuk Leong Mun Yee, lega kebimbangan yang disuarakannya berhubung ketiadaan acara terjun 10 meter platform individu wanita mungkin berubah dengan tawaran yang disediakan Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia, kelmarin.

Ura-ura kemungkinan acara itu sekali lagi digugurkan bertebaran, namun pengumuman terkini seolah-olah menawarkan harapan baru untuk menyaksikan acara ini dipertandingkan selepas dua edisi tiada dalam penganjuran.

Mun Yee berharap ia petanda yang cukup baik dalam usaha mengatasi ketandusan pelapis bagi acara ini.

"Ini satu permulaan yang baik untuk pembangunan sukan terjun. Lebih banyak negeri akan lipat gandakan usaha.

"Menerusi penganjurannya dalam Sukma maka bolehlah kami mencari bakat baru," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Difahamkan pihak Persatuan Renang Malaysia (MAS) juga sedang berbuat sesuatu bagi mengisi kelompongan empat tahun kehilangan acara tersebut dalam Sukan Malaysia (Sukma) menerusi beberapa pendekatan berbeza.

Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong, sebelum ini antara yang lantang menyuarakan kebimbangan.

Namun, segala-galanya masih bergantung kepada keputusan senarai akhir acara yang bakal dipertandingkan, memandangkan syarat utama yang perlu dipenuhi adalah minumum enam penyertaan bagi setiap kategori.

"Setiap negeri kini giat menggilap bakat baru.

"Saya harap pada masa akan datang tidak timbul lagi isu sebegini," katanya lagi.

Pandelela, bagaimanapun, menolak untuk ditemu bual berhubung perkembangan ini.