Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung status ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, yang dilaporkan telah meninggalkan skuad kebangsaan.

Semalam, jurulatih skuad gimnastik negara, Ng Shu Wai, mengesahkan bahawa Olimpian negara itu tidak lagi berlatih bersama skuad kebangsaan sejak dua minggu lalu dan berkemungkinan akan bersara daripada sukan berkenaan.

Setiausaha Kehormat MGF, Afrita Ariany Nasril, berkata persatuan itu masih menunggu surat rasmi daripada Farah Ann dan disebabkan itu, atlet berusia 28 tahun berkenaan masih berada dalam senarai ke Sukan SEA Vietnam pada Mei depan.

"Sebelum ini, tiga atlet senior bagi gimnastik artistik wanita (WAG) kali ini adalah Farah, Rachel (Yeoh) dan Tan Ing Yueh tetapi Farah berkemungkinan besar tidak akan bertanding kali ini. Kami akan mengesahkannya sekali lagi kemudian," kata Afrita Ariany kepada Nadi Arena.

"Secara dasarnya, dia mungkin sudah mahu bersara tetapi mungkin juga masih ada pertimbangan daripadanya.

"Farah, daripada makluman jurulatihnya, kelihatan dia akan bersara. Bukan hanya jurulatihnya, bahkan dia juga ada memberitahu kepada beberapa orang lain yang dekat dengannya.

"Tetapi bagi pihak kami, saya masih menunggu surat daripadanya agar ia boleh diumumkan secara rasmi, jadi kami tetap akan menghadapi Sukan SEA dengan atau tanpa Farah," katanya.