Skuad hoki wanita terpaksa akur dengan kemampuan India susulan melewati kekalahan 6-0 dalam aksi kedua Kumpulan A Sukan Asia Hangzhou 2022 di Stadium Gongshu Canal Sports Park, sebentar tadi.

India membuktikan kualiti sebagai pasukan pilihan dan turun selaku gergasi Asia apabila meledak empat gol dalam suku pertama perlawanan.

Pasukan yang berada di ranking ketujuh dunia itu mengambil peluang untuk memperlahankan rentak perlawanan, bagaimanapun tetap berjaya menemui jalan untuk melebarkan kedudukan dengan dua lagi jaringan sebelum memastikan kemenangan kedua.

Melewati dua perlawanan, Malaysia kini di tempat ketiga dengan tiga mata sementara India dan Korea Selatan berkongsi kedudukan teratas selepas mengumpul enam mata.

Malaysia akan berdepan Singapura pada Ahad.