Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou, menegaskan skuad kendaliannya masih memberikan kepercayaan ke atas kepimpinannya meskipun akur dengan kekalahan 3-4 kepada Chelsea pada Ahad.

Spurs mendahului 2-0 selepas 11 minit perlawanan hasil jaringan Dominic Solanke dan Dejan Kulusevski, namun gagal mengekang kebangkitan mengejut daripada Chelsea yang sekaligus gagal berada di kedudukan 10 terbaik carta terkini liga.

Postecoglou yang mengambil alih tugas di Tottenham pada musim panas 2023 berjaya membawa pasukan itu ke tempat kelima dalam musim pertama kendaliannya.

Bagaimanapun, tekanan semakin dirasai pengurus berusia 59 tahun itu, dengan Spurs kini berada di tangga ke-11 dan ketinggalan tujuh mata di belakang kelompok empat teratas.

"Pasukan kami tidak miliki kekurangan dari segi usaha kerana pemain sentiasa menunjukkan prestasi dan kesungguhan yang terbaik.

"Namun disebabkan tiada pertukaran boleh dilakukan, pemain tidak memiliki rehat yang mencukupi dan mula menunjukkan prestasi merundum," katanya.

Pengurus berasal dari Australia itu juga meluahkan rasa kecewanya dengan keputusan pengadil, Anthony Taylor, yang tidak menghukum pemain tengah Chelsea, Moisés Caicedo, susulan kekasaran yang dilakukan terhadap Pape Matar Sarr pada minit ke-34.

"Saya rasa pengadil tidak mahu membuat keputusan kerana ia akan dirujuk kepada VAR dan pihak VAR pula tidak mahu campur tangan.

"Jadi, akhirnya kita berada dalam keadaan yang tidak pasti," tambahnya.

Kekalahan ini semakin menambah kesukaran kepada Postecoglou yang kini berdepan tekanan untuk memastikan Spurs kembali ke landasan kemenangan dan memperbaiki kedudukan dalam carta liga.