Pengurus Liverpool, Arne Slot, memuji kepimpinan yang dimiliki Virgil van Dijk pada ketika kapten The Reds itu sedang berdepan waktu getir mengenai masa depannya di Anfield.

The Reds akan memulakan 2025 sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kemenangan 3-1 di tempat sendiri ke atas Leicester City pada Hari Boxing meletakkan mereka di tangga teratas dengan kelebihan tujuh mata.

Van Dijk telah menjadi faktor utama kecemerlangan Slot sejak tiba di Merseyside, di mana pertahanan tengah itu memulakan kesemua 17 perlawanan EPL musim ini dengan pasukannya hanya dibolosi 17 gol.

Hanya Arsenal (16) memiliki rekod bolos lebih rendah berbanding Liverpool dalam liga divisyen utama itu dan Van Dijk mempunyai jumlah rekod tanpa bolos tertinggi sepanjang kempen musim ini, iaitu sebanyak tujuh perlawanan.

Pemain berusia 33 tahun itu dibelenggu dengan perbincangan mengenai lanjutan kontraknya dengan kelab itu sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini bersama Mohamed Salah dan Trent Alexander-Arnold, di mana kontrak ketiga-tiga mereka makan tamat pada penghujung musim ini.

Peraturan semasa menyatakan ketiga-tiga mereka boleh memulakan rundingan perpindahan percuma dengan pasukan di luar EPL bermula awal 2025 tetapi perpindahan itu tidak boleh diselesaikan sebelum musim panas depan.

Van Dijk telah menyatakan hasratnya untuk kekal di kelab itu kerana dia sedang menghampiri 300 penampilan bersama mereka sejak ketibaannya dari Southampton pada 2018 tetapi Slot berkata masih tiada sebarang keputusan dapat dibuat ketika ini biarpun 2024 kian hampir untuk melabuhkan tirai.

"Dia pemain yang luar biasa, pemain yang hebat buat Liverpool selama bertahun-tahun ini," kata Slot kepada BBC Sport.

"Saya hanya boleh memberitahu anda mengenai pengalaman saya bersamanya, dan dia bukan sahaja seperti yang anda lihat – kerana anda melihatnya semasa perlawanan, dan dia cemerlang – tetapi dia juga mempunyai impak yang besar dalam sesi latihan.

"Dia pemimpin yang lantang dalam pasukan ini. Setiap kali kami memulakan latihan, dia akan mengetuai rakan sepasukannya dan dia memimpin melalui teladan.

"Bagi saya, dia amat luar biasa dan kami hanya boleh berharap dia akan terus menunjukkannya semasa perlawanan dan dalam sesi latihan, selagi dia bersama kami."