Sebanyak 19.16 mata bakal diperolehi oleh Indonesia, sekali gus mengumpul 1135.11 mata keseluruhan selepas melakar kejutan menewaskan pasukan di kedudukan ke-59 dunia, Arab Saudi, di Stadium Utama Gelora Bung Karno, semalam.

Dua jaringan daripada pemain sensasi, Marselino Ferdinand, merakamkan kemenangan pertama Sang Garuda dalam Kelayakan Piala Dunia 2026, seterusnya menghidupkan peluang mara ke kejohanan berprestih tinggi itu susulan mendaki tempat ketiga Kumpulan C.

Skuad kendalian Shin Tae-yong itu kembali memintas skuad Harimau Malaya untuk bergelar pasukan ketiga terbaik Asia Tenggara.

Mengikut kiraan semasa tidak rasmi, Indonesia melonjak lima anak tangga daripada kedudukan 132 dunia ke kedudukan ke-127 dunia selepas dua aksi.




Sementara itu, Malaysia berkemungkinan berada di belakang negara jiran dengan perbezaan 2 atau 3 anak tangga.

Kemas kini seterusnya ranking FIFA akan dilakukan pada 28 November ini dengan kedudukan dan mata masih boleh berubah.