Jorge Sampaoli memuji aksi Argentina selepas membelasah Singapura 6-0 dalam perlawanan persahabatan semalam sambil mengakui tugas yang jauh lebih besar menanti skuadnya di depan.

Argentina mencatat kemenangan 1-0 ke atas pencabar, Brazil, di Australia pada Jumaat lalu, tugasan pertama Sampaoli selaku jurulatih skuad itu, sebelum mencipta lebih gol di Stadium Nasional Singapura.

Bekas bos Chile dan Sevilla itu membentuk skuad dengan formasi luar biasa, 2-3-4-1, dan salah seorang daripada dua pemain pertahanan, Federico Fazio, membuka jaringan sebelum Joaquin Correa menggandakan kelebihan buat skuad Albiceleste sebelum rehat.

Angel Di Maria dan Lucas Alario bersama dengan kemunculan pertama, Alejandro Gomez dan Leandro Paredes, masing-masing mecipta jaringan untuk membuatkan jurulatih itu tersenyum lebar dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Saya bersyukur dan berterima kasih di atas kebolehan pemain -- kesanggupan besar mereka mengambil idea baru dan melaksanakannya," kata Sampaoli.

"Dua perlawanan sangat berbeza, dua pesaing yang sangat berbeza dengan ciri-ciri yang berbeza. Jadi, apa yang saya paling hargai adalah pemain memberikan segala usaha mereka untuk bermain dengan hebat.

"Bagi saya, itu adalah permulaan baik untuk segala-galanya yang akan datang. Pasukan mempunyai keyakinan besar sepanjang 90 minit, dalam kawalan yang kukuh."

Argentina kembali beraksi kompetitif dalam kelayakan Piala Dunia menentang Uruguay dan Venezuela pada Ogos dan September dan Sampaoli berkata: "Apa yang akan datang adalah sama sekali berbeza daripada apa yang berlaku hari ini."