India hampir menjuarai Kejohanan SAFF B-19 Wanita 2024 dengan lambungan syiling sebelum semakan komisar perlawanan mendapati perkara itu tiada dalam buku undang-undang permainan.

Dalam aksi final di Stadium Mostafa Kamal, Dhaka berkenaan, Sibani Devi meletakkan India di depan seawal minit kelapan tetapi Mosammat Sagorika menjaringkan gol penyamaan buat tuan rumah dalam waktu kecederaan untuk mengheret perlawanan itu ke penentuan penalti.

Bagaimanapun, masih tiada pemenang dapat dinobatkan selepas penentuan berkenaan apabila kesemua pemain kedua-dua pasukan berhasil menjaringkan gol sehingga kedudukan terikat 11-11.

Pengadil memilih untuk menamatkan perlawanan itu dengan lambungan syiling dan India kemudian diumumkan sebagai pemenang.

Situasi itu mendatangkan rasa tidak puas hati pemain dan penyokong Bangladesh dan selepas semakan, komisar perlawanan mendapati penentuan pemenang dengan lambungan syiling tiada dalam buku undang-undang permainan.

Ketika itu, pemain India sudah berada di bilik persalinan dan pemain Bangladesh pula masih berada di atas padang.

Jika pemain India tidak kembali ke padang selepas 30 minit, Bangladesh akan diumumkan sebagai juara dan pasukan pelawat berkenaan tidak kembali dalam tempoh ditetapkan itu.

Namun, kedua-dua pasukan berkenaan akhirnya dinobatkan sebagai juara bersama.

A post shared by Indian Sports Pulse (@indian_sports_pulse)