Presiden Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM), Gerard Monteiro Clair, memberi pujian terhadap prestasi positif yang ditonjolkan pemain negara seperti S.Sivasangari dan Ng Eain Yow dalam kejohanan Terbuka Singapura, minggu lalu.

Jelasnya, tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenai persediaan mereka menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 selepas kejayaan demi kejayaan yang dilakar sepanjang tahun ini.

"Secara keseluruhan, mereka mempamerkan persembahan terpuji dalam dua kejohanan lalu, Terbuka Malaysia dan Singapura.

"Walaupun tidak bergelar juara, tetapi mereka bekerja keras untuk bermain sepenuhnya demi meningkat prestasi setiap masa," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fatin Ruzaiman.

Sementara itu, Gerard Monteiro turut hadir di majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi memperkukuh pembangunan sukan selain mengimbangi kecemerlangan akademik dalam kalangan pelajar.

"Bangga dan gembira dapat bersama dalam hari yang penuh bersejarah menandatangani MoU dengan pihak UiTM.

"Kami memberitahu UiTM bahawa kami mahu melahirkan lagi pelapis skuad kebangsaan khususnya dalam sukan skuasy," tambahnya lagi.