Bintang gergasi Raw, Braun Strowman dijangka akan terus menerima lonjakan dan terus berada di puncak rantaian apabila beliau dinamakan sebagai calon pencabar utama untuk Kejuaraan Universal WWE menentang Brock Lesnar beberapa bulan akan datang.

Menurut Wrestling Observer Newsletter, pertembungan antara Strowman dan Lesnar ini mungkin akan berlangsung pada Jun atau Julai di siaran pay per view eksklusif Raw iaitu Extreme Rules atau Bad Blood.

Sejak mempamerkan kekuatan luar biasa di acara Raw pada Selasa lalu, pihak pengurusan WWE mula yakin dengan kemampuan bintang sasa berusia 33 tahun tersebut. Tidak mustahil, Strowman akan terus menjadi bintang raksasa berwatak jahat utama di Raw, menjadi senjata pemusnah terunggul dan mengganas bagi mencapai segala keinginannya.

Oleh kerana Strowman telah tewas kepada Roman Reigns di acara Fastlane pada Februari lalu, para penganalisis meramalkan yang pertemuan semula mereka di acara Payback pada 1 Mei ini akan menghasilkan keputusan berbeza di mana Strowman akan terus cemerlang dalam usaha menundukkan bekas Juara Heavyweight Dunia WWE itu.

Kepada yang terlepas menyaksikan siaran Raw minggu ini, Strowman telah mencipta kejutan apabila menyerang Roman di belakang tabir semasa ditemubual. Serangan bertali arus Strowman menyebabkan Roman terkulai layu tidak berdaya, memaksa pasukan perubatan bergegas untuk memberi rawatan kecemasan kepada sepupu kepada The Rock tersebut.



Namun itu belum cukup buat Strowman. Terus dengan kelakuan jahatnya, Strowman tanpa belas kasihan menolak katil pengusung yang menempatkan Roman sehingga jatuh ke bawah dengan ketinggian yang agak tinggi. Akibat tolakan tersebut, Roman dilaporkan mengalami kecederaan yang agak parah termasuk mengalami dislokasi pada bahagian engsel bahunya.

Disangkakan serangan telah pun berakhir apabila Roman berjaya dimasukkan ke dalam ambulans. Rupanya tidak sama sekali. Strowman menutup siri serangan ganasnya dengan mempamerkan kekuatan luar biasa. Dengan segala kudrat yang ada, dia melawan hukum sains dan graviti apabila menterbalikkan ambulan yang dinaiki Roman, sebelum berlalu pergi selepas itu.

Susulan serangan tersebut, Roman dikejarkan ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan lanjut. Status Roman masih belum dikemaskini oleh WWE waktu ini. Namun kita mengharapkan tiada kecederaan serius membelenggu Roman dan beliau akan bangkit kembali membalas dendam terhadap segala perlakuan keji Strowman ke atas dirinya.
{^widget|(videourl)https%3a%2f%2fwww.youtube.com%2fwatch%3fv%3dJXTOH9jhbOg|(name)YouTubeVideo|(autoplay)False|(widget_displayname)YouTube+video|(width)425|(height)355^}

Peluang membalas dendam ini juga sesuatu yang agak menarik kerana Roman boleh menggunakan kesempatan ini untuk menyerlahkan karakter sebenar dirinya. Dengan kata lain, ia boleh digunakan sebagai batu loncatan untuknya bertukar kepada watak jahat, sementelah watak baik yang dibawanya selama ini tidak diterima sebahagian besar WWE Universe. Semakin Roman cuba mempamerkan akhlak yang baik, semakin kuat sorakan boo yang diterimanya. Justeru, tiada makna untuk Roman terus berada di jalan kebenaran. Jalan hitam yang boleh dipilihnya pasti akan membawa lembaran baharu dan Roman tidak perlu gusar lagi tentang penerimaan para peminat terhadap dirinya.

Tambahan pula, di jenama Raw kini telah ramai jaguh suka ramai yang boleh menggantikan tempat Roman. Kita ada Seth Rollins, Finn Balor dan Dean Ambrose yang baru sahaja berpindah jenama susulan rombakan roster minggu ini. Terlalu ramai wira kegemaran berhaluan kanan hanya akan menyebabkan ketidakseimbangan. Watak jahat perlu ditambah bagi menghangatkan lagi segala sengketa yang sedia ada.

Mungkin pada pertemuan di acara Payback nanti, Roman akan membelasah Strowman habis-habisan sehingga memaksa pengadil memberikan pembatalan DQ kepadanya. Ia seperti yang berlaku di acara WrestleMania 13 ketika perlawanan antara Bret "Hitman" Hart dan Stone Cold Steve Austin pada 19 tahun lalu.

Bret yang asalnya berwatak baik manakala Austin sebaliknya, bertukar karakter pasca perlawanan kerana tindakan Bret yang tanpa belas kasihan terus menyeksa Austin hingga pengsan dengan gerakan kunci kaki penembak tepatnya. Kesudahannya, Austin yang sebelum itu adalah seorang yang jahat, bertukar kepada seorang anti hero. Tidak mustahil, sejarah yang sama boleh berulang kepada Strowman.



Terdapat juga pendapat seperti daripada portal Sun Sports yang mengatakan serangan ke atas Roman ini akan melahirkan Roman yang berimej baharu. Setelah berjaya menewaskan Undertaker di acara WrestleMania awal bulan ini, WWE kononnya tidak mahu legasi Undertaker terpadam begitu sahaja. Mereka ingin mencipta Undertaker baharu dan tiada siapa yang lebih layak untuk menggalas tanggungjawab ini selain Roman.

Dengan imej rambut panjang dan mempunyai susuk tubuh yang lebih kurang sama seperti Undertaker asal, Roman akan ‘bangkit semula daripada kematian’ setelah diserang Strowman, dan meneruskan igauan ngeri dengan bertukar menjadi Undertaker generasi baharu.

Namun, ia hanyalah sekadar teori. Kalau pun benar ia menjadi kenyataan, pasti sorakan boo terhadap Roman akan semakin kuat kedengaran. Ini kerana hanya ada satu sahaja Undertaker dan tiada siapa boleh mengisi kekosongan bintang lagenda yang telah menghantui WWE sejak dari tahun 1990 dahulu.



RomanTaker, buruk benar bunyinya!

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network dan saksikan semua acara pay per view setiap bulan eksklusif secara langsung yang turut boleh diikuti di Astro On The Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.