SRI PAHANG 3 PERAK 3
(Sri Pahang ke suku akhir dengan agregat 4-3)

Perak bangkit sebanyak tiga kali untuk mengikat Sri Pahang 3-3 dalam aksi suku akhir kedua Unifi Piala Malaysia di Temerloh sebentar tadi.

Bagaimanapun, The Bos Gaurus tersingkir daripada saingan itu gara-gara ketinggalan 3-4 daripada segi agregat berikutan kekalahan 0-1 dalam aksi pertama di Ipoh minggu lalu.

Manuel Hidalgo muncul pemain paling cemerlang dalam pertemuan kali ini dengan jaringan hatriknya memastikan kemaraan Tok Gajah.

Hidalgo membuka jaringan buat tuan rumah seawal minit kelima dengan melakukan gelecekan menarik dari sebelah kanan sebelum melakukan penyudah dari sudut sukar.

Bagaimanapun, kedudukan itu hanya bertahan selama empat minit apabila Wan Zack Haikal Wan Noor kembali menyamakan kedudukan buat pelawat dengan penyudah jarak jauh dari luar kotak penalti selepas menerima lambungan jauh Shivan Pillay Asokan.

Hidalgo kembali meletakkan Sri Pahang di depan selepas setengah jam permainan, di mana dia menyempurnakan peluang sepakan penalti selepas insiden Firdaus Saiyadi menjatuhkan Sean Selvaraj.

Menjelang ke bilik persalinan, Perak sekali lagi menyamakan kedudukan hasil jaringan Jesper Nyholm tetapi Hidalgo menyudahkan satu lagi sepakan penalti dalam waktu kecederaan separuh masa berikutan kekasaran penjaga gol, Haziq Nadzli, ke atas Kpah Sherman.

The Bos Gaurus kembali mengikat kedudukan pada minit ke-54 menerusi sepakan lencong menarik dari jarak jauh yang dilakukan Daniel Hakimi Azmil.

Bagaimanapun, mereka gagal menyamakan kedudukan agregat untuk akur tersingkir di peringkat suku akhir.

Dengan keputusan itu, Sri Pahang akan menantikan pemenang di antara Sabah dan Kuching City bagi penentuan ke final bulan depan.

Keputusan Piala Cabaran:
KL ROVERS 0 KEDAH DARUL AMAN 3
(Kedah ke separuh akhir dengan agregat 6-0)

KELANTAN DARUL NAIM 0 SELANGOR 3
(Selangor ke separuh akhir dengan agregat 8-1)