Biarpun membawa bekalan selesa hasil kemenangan 5-0 berdepan Malaysian University (MU) dalam suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri minggu lalu, kesebelasan Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu memberikan aksi terbaik bagi mempertahankan kelebihan itu dalam aksi suku akhir kedua Piala di venue sama malam esok.

Malah, Ketua jurulatih skuad Harimau Selatan itu, Hector Bidoglio, menjangkakan aksi sengit daripada skuad The University Tigers itu, yang pastinya mahu merapatkan jurang defisit berkenaan sambil mencongak peluang mencipta kejutan.

“Bagi saya, pihak lawan akan mempamerkan aksi sama, iaitu dengan mempamerkan permainan secara kompak dan menyukarkan kami untuk menembusi benteng pertahanan mereka.

“Bagaimanapun, dalam aksi suku akhir pertama lalu, pasukan kami dapat melakukan serangan dan menjaringkan gol.

“Oleh itu, sesi latihan menjelang pertemuan itu akan lebih tertumpu untuk mempertajamkan lagi jentera serangan kami,” katanya.

Bidoglio berkata, pihaknya mahu memilih dan menurunkan kesebelasan pemain yang tepat bagi mengharungi aksi suku akhir kedua berkenaan.

“Latihan minggu ini akan tertumpu kepada usaha mengenal pasti pemain yang tepat untuk diturunkan nanti.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, menentang pasukan ini (MU), bukannya sesuatu yang mudah.

“Justeru, selain menurunkan pemain yang tepat, pasukan kami juga perlu mempamerkan aksi lebih agresif sepanjang perlawanan dan seterusnya mencipta peluang jaringan,” katanya.

-- Sinar Harian