Ketua jurulatih skuad B-23 Uzbekistan, Timur Kapadze, menganggap kejayaan menumbangkan Malaysia 2-0 dalam aksi pertama Kumpulan D, Piala Asia B-23 di Qatar malam tadi sebagai permulaan terbaik buat pasukannya untuk memburu kejuaraan edisi ini.

Uzbekistan menewaskan Harimau Muda 2-0 hasil jaringan penalti Jasurbel Jaloliddinov pada minit ke-11 dan penyudah Ulugbek Khoshimov pada minit ke-83.

pasukan itu jelas membawa reputasi besar dalam kejohanan berkenaan, di mana mereka pernah bergelar juara edisi 2018 dan naib juara edisi 2022.

Mengulas mengenai kemenangan itu, Kapadze berkata dalam sidang media: "Tahniah atas kemenangan dalam perlawanan pertama ini.

"Perlawanan pertama sentiasa sukar buat mana-mana pasukan, termasuk kami.

"Mungkin kami ada melakukan kesilapan tetapi amat penting untuk kami memenangi perlawanan ini dan amat penting untuk tiada sebarang kecederaan.

"Kami akan meneruskannya dan kami perlu bersedia menghadapi perlawanan selepas ini.

"Lawan kami juga bermain dengan amat baik, mereka mencipta dua atau tiga peluang, jadi kami akan menganalisis perlawanan ini dan benar, pemain kami amat teruja untuk menghadapi perlawanan seterusnya tetapi kami perlu melakukan analisis dari perlawanan ke perlawanan," katanya.