Ketiadaan ketua pasukan, Safuwan Baharudin, diratapi Singapura yang menuntut mereka untuk mencari penyelesaian segera bersempena pertemuan dengan Thailand dalam Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024 di Stadium Nasional Singapura, petang ini.

Pemain serba boleh berusia 33 tahun tersebut yang membantu kemenangan skuad Seberang Tambak itu ke atas Kemboja (2-1) dan Timor-Leste (3-0) dijangka dipertaruhkan Selangor untuk menghadapi Perak dalam perlawanan Liga Super di Manjung, malam ini.

Justeru, rakan sepasukan di peringkat kebangsaan, Amirul Adli, menyeru kesemua pemain Singapura menampung ketiadaannya bagi menghidupkan misi ke separuh akhir, selain memadam badi kekalahan dalam lapan pertemuan terakhir mereka.

"Bertahan bukan setakat 4-5 pemain sahaja di bahagian belekang, tetapi ia melibatkan organisasi keseluruhan pasukan. Kalau kami beraksi bagus sebagai sebuah pasukan sepanjang 90 minit maka ia meningkatkan peluang kemenangan kami.

"Semua pemain harus menggalas tanggungjawab ini. Perlawanan ini amat penting memandangkan mereka merupakan seteru di ranking paling tinggi.

"Untuk bertahan, sebagai pasukan kami patut boleh beraksi dengan lebih baik lagi," katanya.





Ketua jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura, turut sependapat bahawa barisannya di bahagian benteng agak goyah dengan syarat mereka perlu bersatu padu.

"Jika seorang pemain hilang fokus, ia boleh menjadi sangat sukar," katanya.