Lionel Messi ditawarkan peluang untuk bermain dalam final Copa America 2007 oleh seorang bekas pengadil sebagai pertukaran untuk jersi yang dipakainya.
Carlos Chandia menceritakan momen kritikal ketika dia mengabaikan layangan kad kuning kepada Messi pada perlawanan separuh akhir menentang Mexico.
Jika Messi menerima kad kuning, dia akan digantung perlawanan dan hanya menyaksikan rakan-rakannya beraksi menentang Brazil dari tempat duduk penonton.
Argentina menewaskan Mexico 3-0 hasil jaringan Gabriel Heinze, Messi sendiri dan Juan Roman Riquelme.
Chandia mengaku bahawa dia mengabaikan undang-undang bola sepak demi mendapatkan jersi yang dipakai Messi sebagai balasan untuk tidak melayangkan kad kuning, sekali gus membolehkan pemain itu beraksi di pentas final.
"Tiba-tiba Messi mengangkat bola dan menyentuhnya dengan tangan, tetapi di tengah padang. Tiada peluang menjaringkan gol untuk pasukan Mexico atau seumpamanya.
"Jadi, saya memberitahunya ini adalah kesalahan dan boleh dilayangkan kad kuning.
"Ada dua setengah minit lagi dan kedudukan 3-0. Jika saya menunjukkan kad kuning, itu akan menutup peluangnya untuk bermain di final Copa America.
"Saya berbisik kepada Messi, jika dia tidak mahu dilayangkan kad, dia mesti memberikan jersi yang dipakainya," dedah Chandia kepada ESPN FShow.
Chandia juga mendakwa bahawa tindakannya enggan melayangkan kad kuning kepada Messi menyebabkan dia tidak dipilih untuk mengendalikan final Copa America, tetapi Messi tetap 'setia' kepada janjinya dan memberikannya jersi selepas perlawanan.
"Sebenarnya, dia mahu memberikannya di padang tetapi saya memberitahunya: "Tidak, tidak, tidak, bawa ke bilik persalinan".
"Messi datang ke bilik persalinan dengan jersi itu dan meninggalkannya di sana untuk saya," katanya.
Bagaimanapun, penampilan Messi di perlawanan akhir gagal membantu Argentina apabila mereka tumpas 0-3. - Sinar