ARGENTINA 2 UKRAINE 0

Thiago Almada dan Claudio Echeverri menjaringkan gol untuk Argentina menewaskan Ukraine 2-0 di Stade de Lyon sebentar tadi tetapi mereka perlu berpuas hati dengan status naib juara Kumpulan B dalam acara bola sepak Sukan Olimpik Paris 2024.

Argentina merupakan antara pasukan pilihan untuk memenangi pingat emas ketiga mereka dalam temasya itu dan mereka jelas menyinar dalam edisi kali ini.

Selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam babak pertama, Albiceleste hanya memerlukan dua minit dalam babak berikutnya untuk memecahkan kebuntuan apabila percubaan lencong Almada gagal diselamatkan penjaga gol, Kiril Fesiun.

Ukraine memberikan beberapa ancaman menuju ke penghujung permainan tetapi Echeverri memastikan kemenangan Argentina dalam waktu kecederaan dengan menyudahkan bola muntah hasil percubaan awal Kevin Zenon.

Bagaimanapun, dalam kumpulan yang sama, Maghribi menewaskan Iraq 3-0 untuk bergelar juara kumpulan dengan berbekalkan kemenangan dalam pertemuan dengan Argentina biarpun kedua-dua pasukan terikat dengan 6 mata dan jumlah jaringan dan bolos yang sama.