Juara bertahan, Johor Jewels, meraih kemenangan keempat daripada empat perlawanan pertama Netball Super League (NSL) musim ini apabila mudah menewaskan pasukan di tangga tercorot, Negeri Sembilan Venom, 70-18 di Stadium Juara, Bukit Kiara sebentar tadi.

Jurang kualiti jelas kelihatan di antara kedua-dua pasukan ini dan Jewels mempamerkan penguasaan total sejak dari awal permainan untuk jauh mendahului 19-1 dalam suku pertama.

Keadaan menjadi kian sukar buat Venom menjelang separuh masa di mana mereka semakin jauh ketinggalan 41-3 sebelum waktu rehat.

Jewels kemudian semakin selesa dengan mendahului 60-8 pada penghujung suku ketiga dan walaupun Venom cuba bangkit meraih 10 mata dalam suku terakhir, ia jelas sudah terlalu lewat untuk mengubah nasib mereka, sekali gus terpaksa menelan kekalahan keempat daripada empat perlawanan pertama musim ini.

Jewels seterusnya akan menghadapi pasukan di tangga kedua liga, Terengganu Marvels, sambil Venom pula akan bertemu Selangor Angels esok.