Kejayaan Selangor Red Giants meraih gelaran juara dua kali berturut-turut Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MPL) Malaysia musim ke-14 mengukir sejarah baru dalam sejarah penganjuran.

2024 terbukti menjadi saksi kepada pasukan Gergasi Merah itu selepas mencipta rekod yang membanggakan bermula dengan kejayaan dalam saingan Mid Season Cup 2024 (MSC), Julai lalu.

Kini, tumpuan terarah kepada Kejohanan Dunia, M6, yang akan berlangsung di Axiata Arena, Disember ini bagi menyaksikan skuad negara bertempur di kalangan pasukan terhebat dunia.

Kupasan khas dibawakan oleh wartawan Astro Arena, Karl Nunis, di sebalik cerita yang memberi inspirasi kepada semua peminat khususnya ketika di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri, Johor.

"Saya tidak boleh menjelaskan secara terperinci tetapi secara singkat kami membuat tiga pertukaran besar yang boleh dikategorikan sebagai percubaan (eksperimen) melingkupi perubahan hero, strategi dan sebagainya terutamanya ketika menentang pasukan Todak yang memerlukan perubahan ketara ," kata jurulatih SRG, Michael Angelo Bocado atau lebih dikenali selaku Arcadia.





"Sepanjang penganjuran musim MPLMY, tiada siapa yang pernah merangkul gelaran pemain paling bernilai (MVP) di posisi midlaner. Jadi, saya adalah pemain pertama yang berjaya mendapatkan anugerah tersebut dan sangat bersyukur dengannya.

"Kepada anak-anak muda di luar sana, mereka boleh mencuba bermain permainan ini di mana-mana posisi tetapi harus menumpukan perhatian terhadap pembelajaran juga," kata Hazziq Danish Rizwan atau Stormie.

"Kami menjadi lebih kuat apabila dapat memahami sepenuhnya meta. Kami berusaha bersungguh-sungguh untuknya dan ketika saingan playoff juga kami agak susah untuk bermain. Tetapi kekalahan di upper bracket memberikan masa yang cukup untuk kembali lebih kuat, kata penganalisa taktikal SRG, Poon Kok Sing atau dikenali sebagai Ozoraveki.

"Belum pernah lagi ada pasukan yang memenangi (MSC) berjaya menjadi juara di kejohanan dunia (M series). Ia adalah tekanan yang tinggi, namun saya berharap mereka mampu melakukan kejutan hujung tahun ini.

"Kepada semua peminat, saya berjanji kami takkan memalukan Malaysia," kata Pengasas bersama SRG, Simon Lim.