Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai membara untuk melakar lebih banyak kejayaan pada musim 2025 selepas mengharungi tahun ini dengan prestasi yang membanggakan.

Malah kejayaan mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) di China pertengahan bulan ini sebagai pencapaian yang tidak pernah mereka gambarkan.

"Bonus bagi kami kerana berada di separuh akhir WTF. Ia adalah pencapaian di luar jangkaan kami pada tahun ini.

“Sangat berpuas hati dengan prestasi keseluruhan kerana kami menghadapi beberapa cabaran termasuk kecederaan yang dialami oleh Soon Huat, namun semuanya dalam keadaan baik,” ujar Shevon.

Impian pasangan suami isteri itu untuk mara ke final WTF disekat rakan senegara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei setelah kalah 15-21, 12-21 dalam aksi separuh akhir di Hangzhou.



Di sebalik keputusan itu, Shevon-Soon Huat tidak pulang dengan tangan kosong sebaliknya meraih hadiah wang tunai AS$50,000 (RM225,419).

Biarpun terlepas tiket untuk ke Sukan Olimpik 2024 di Paris Ogos lalu, namun ia tidak melemahkan semangat mereka untuk melakar beberapa kejayaan pada musim ini.

Mereka menikmati musim terbaik apabila merangkul gelaran Terbuka Switzerland dan Masters Malaysia serta muncul naib juara Terbuka China.

“Kami berjaya mengharungi semua kejohanan pada tahun ini dengan baik. Segala tekanan sudah hilang. Kami akan berehat seketika sebelum kembali ke gelanggang untuk kejohanan pertama musim 2025 bulan depan,” ujar Shevon.

Mereka dijadual menyertai Terbuka Malaysia yang berstatus Super 1000 di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula 7 hingga 12 Januari ini. - Sinar Harian