Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan Malaysia Airlines Berhad (MAB) sebagai penaja utama Harimau Malaya dan FAM. Perjanjian penajaan itu akan berjalan selama tiga tahun bermula Januari 2024 hingga Disember 2026.

Dokumen perjanjian itu telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, dan Ketua Pegawai Komersial Penerbangan MAB, Dersenish Aresandiran, dan disaksikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, dan Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan MAB, Ahmad Luqman Mohd Azmi.

Hamidin menyampaikan ucapan terima kasih kepada MAB atas sokongan berterusan sejak 2019.

"Jalinan kerjasama antara FAM dan MAB bukan sahaja mencerminkan kesetiaan tetapi juga menunjukkan dedikasi serta komitmen mereka terhadap arena bola sepak negara.

"Ia juga memberi mesej penting kepada penyokong-penyokong skuad kebangsaan di luar sana bahawa FAM bukan sahaja mampu memberikan nilai tambah kepada barisan penaja-penajanya, malah dapat memberi impak yang positif terhadap sektor ekonomi negara.

"Dengan penajaan ini, diharapkan skuad Harimau Malaya dapat meningkatkan prestasi mereka di pentas antarabangsa dan membawa kejayaan kepada negara," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan badan induk itu hari ini.

Kerjasama ini diharap dapat memperkukuhkan lagi hubungan di antara FAM dan MAB serta menyuntik semangat baru kepada pemain dan penyokong bola sepak Malaysia.