Presiden FIFA, Gianni Infantino, berpendapat larangan perjalanan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, akan membawa impak negatif terhadap peluang negara itu untuk menganjurkan Piala Dunia 2026.

Draf terbaru Trump melarang sebarang perjalanan oleh individu dari Iran, Syria, Somalia, Sudan, Yemen dan Libya untuk masuk ke negara itu.

Proses membida penganjuran Piala Dunia 2026 telah digantung ketika ini, namun Amerika Syarikat dijangka menjadi antara negara yang akan membuat bidaan.

"Pasukan yang layak ke Piala Dunia perlu mendapat akses ke negara penganjur. Jika tidak tiadalah Piala Dunia," Infantino memberitahu wartawan di London, semalam.

"Trump adalah Presiden Amerika Syarikat, dan untuk itu saya menghormati segala yang dia lakukan.

"Kami ketika ini sedang menentukan ciri-ciri yang perlu ada bagi sebuah negara penganjur.

"Tetapi apabila ia melibatkan kejohanan oleh FIFA, setiap pasukan termasuk penyokong dan pegawai harus dibenarkan untuk memasuki negara penganjur.

"Setiap negara juga dibenarkan untuk membuat keputusan, sama ada mereka mahu membuat bidaan atau tidak."