Penganjuran julung kalinya, KL Fight League menjadi pentas utama pencarian bakat baru bagi sukan muay thai.

Turut dimeriahkan dengan penyertaan atlet dari luar negara, antaranya dari indonesia, syarat utama kejohanan -- hanya atlet yang memiliki rekod 20 perlawanan ke bawah dibenarkan beraksi.

Atas faktor itu, majoriti peserta yang ambil bahagian merupakan atlet muda yang juga prospek utama negara di masa hadapan.

Antara perlawanan tumpuan melibatkan saingan 51 kilogram menyaksikan petinju Muay Thai Malaysia, Khuzairi Azim menentang Calvin Batee dari Indonesia.

Azim yang masuk ke gelanggang utama selaku bukan pilihan, tampak bergelut di pusingan pertama.

Calvin pula, yang jauh lebih berpengalaman, memulakan pertempuran dengan gerakan berbahaya sehingga Azim terpaksa mencatur langkah baru.

Azim yang mewakili Respect Muaythai pantas menyerap arahan baru barisan jurulatihnya untuk menukar cara pertempuran yang membuahkan hasil.

Pertembungan katgori atomweight itu mencapai kemuncaknya apabila gerakan Azim berjaya menamatkan cabaran Calvin dengan kemenangan Technical Knockout (TKO).

Setiap penerima tali pinggang kejuaraan KL Fight League berpeluang terbang ke Thailand pada awal tahun hadapan demi kelangsungan karier sebagai atlet muay thai profesional.

Satu-satunya perlawanan tumpuan saingan wanita menemukan Eva Anatasia dan Ecah Gomo.

Eva, pemenang pingat emas Sukma Sarawak yang lalu dalam kategori berat 45 hingga 48 kilogram, memulakan saingan dengan variasi gerakan memukau.

Namun, Ecah yang menjadi kebanggaan kelantan memiliki senjata rahsia yang mampu menumbangkan nama-nama besar di gelanggang kompetitif.

Meskipun saiz fizikal yang kecil, jangan terpedaya kerana keinginan dan bisa kekuatan tumbukan ecah sememangnya luar biasa.

Bakat Ecah diasah daripada Kelab Muay Thai Gomo sememangnya bijak untuk menyerap asakan lawan dan mencari ruang untuk dieskploitasi, sehingga kekal kental untuk dinobatkan sebagai pemilik tali pinggang kejuaraan KL Fight League 2024.