Teka-teki mengenai ketua jurulatih beregu wanita negara akhir terjawab apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan pelantikan Rosman Razak bermula 5 November ini.

Rosman bukanlah asing selaku jurulatih di BAM dan sudah pasti mahu mengangkat prestasi gandingan utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, ke tahap lebih tinggi.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, menyambut baik kepulangannya.





Rosman adalah antara individu yang bertanggungjawab menggandingkan beregu wanita prolifik negara, Pearly-Thinaah pada 2019 sebelum mula mengendali kem profesional.

Menurut Rexy, Rosman satu-satunya nama yang berbangkit untuk mengisi kekosongan sektor beregu wanita dalam satu perbincangan yang diadakan bersama pihak pengurusan BAM.

"Selamat datang Rosman selaku jurulatih beregu wanita, dia mempunyai pengalaman sangat banyak tetapi dia akan mulai tugasan bermula 5 November.

"Kita perlukan jurulatih seperti Rosman saling dibantu oleh Ching Kai Feng. Sebelum ini memang ada perbincangan untuk cari jurulatih beregu wanita dan kita perlukan seseorang yang berpengalaman seperti dia." katanya.