Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, melalui laman Instagram peribadi miliknya menyatakan pandangan bahawa sukan bola sepak adalah tentang kemenangan, pencapaian dan mencipta sejarah.

Pasukan di seberang tambak itu merupakan model terbaik untuk semua pasukan bola sepak di Malaysia dalam membina pembanggunan bola sepak dari akar umbi sehingga cemerlang sebagai antara gergasi bola sepak di pentas Asia kini.

Dalam ucapannya itu, baginda menasihatkan agar pentingnya untuk membuat keputusan yang bijak dalam menentukan kerjaya untuk meraih pencapaian dan mencipta sejarah.

"Dalam industri pertandingan sukan, terutamanya bola sepak. Sehebat mana pun anda, jika anda berada di tempat yang salah, ia tidak bermakna.

"Kenapa? Kerana ia adalah mengenai kemenangan, pencapaian dan mencipta sejarah. Dalam kerjaya ini, kejayaan dan kewangan anda perlu berjalan seiring.

"Jika tidak, anda hanyalah sekadar salah seorang lagi pemain. Salah seorang dari ramai lagi. Ia adalah dunia yang kejam.

"Apabila masa anda berakhir, tiada siapa yang akan mengingati anda kerana orang hanya mengingati juara atau pemenang. Senjata anda adalah pengetahuan anda dan kebijaksanaan membuat keputusan.

"Kehidupan dan kerjaya anda adalah berdasarkan keputusan-keputusan yang anda buat. Gunakannya dengan bijak.

Kerana pada penghujungnya, orang yang kononnya menganggap mereka tahu yang terbaik untuk anda, tidak akan berada dengan anda ketika anda menderita.

"Andalah yang menjaga diri anda sendiri dan itulah kenyataan yang menyedihkan."

Juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu akan menjalani kempen pra-musim di Sepanyol bagi menguatkan pasukan sebelum menjelang saingan Liga Super Malaysia 2024/2025, pada Mei nanti.