Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, ternyata kecewa dengan kegagalan Malaysia meraih keputusan positif dalam aksi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia berdepan Oman, sebentar tadi.

Malaysia sekali lagi melewati kekalahan bertemu Oman dalam saingan kelayakan Piala Dunia, dengan keputusan 0-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tidak dinafikan, Malaysia telah menghadirkan corak permainan yang lebih baik berbanding perlawanan terdahulu dengan berusaha untuk cuba mematahkan benteng akhir pelawat.

Muhsen Al-Ghassani dan Mohammed Al-Hinai menjadi watak melukakan 26,499 yang hadir ke stadium serta seluruh penyokong Harimau Malaya yang menyaksikan perlawanan sebentar tadi.

Selepas tamat perlawanan, Pan-gon berkata, "Saya memohon maaf kepada semua yang hadir dan menyaksikan perlawanan Malaysia. Kami telah berjuang, namun gagal mendapatkan keputusan yang dimahukan.

"Barisan pemain akan bangkit, kami akan kembali menghadirkan permainan yang lebih berkualiti, masih berbaki dua perlawanan dan kami akan berjuang sehingga ke wisel penamat.

"Inilah yang apa kami mampu lakukan untuk perlawanan ini, mereka telah cuba yang terbaik. Saya bagaimanapun tetap berbangga dengan persembahan barisan pemain tampilkan dalam perlawanan ini. "

Malaysia akan kembali beraksi dalam saingan kelayakan Jun ini dengan dua perlawanan terakhir bertemu Kyrgyzstan dan Chinese Taipei bakal dilihat sebagai perlawanan wajib menang.