Jaringan tunggal bintang sensasi, Lionel Messi sudah cukup buat Argentina menang 1-0 ke atas Ecuador ketika mereka memulakan kempen kelayakan ke Piala Dunia 2026 dengan langkah kanan pada awal pagi Jumaat.

Seperti diramal juara dunia 2022 itu mendominasi kawalan bola, namun kecewa ketika menyerang apabila mereka bergelut untuk memecah kebuntuan merobek gawang lawan.

Kapten Messi bagaimanapun meneruskan persembahan cemerlang dipamerkan bersama kelabnya Inter Miami apabila dia tampil meledak gol kemenangan menerusi sepakan percuma pada minit ke-78.

“Kami menentang pasukan yang hebat, dengan pemain yang bagus dan kuat daripada segi fizikal.

“Semua orang sentiasa mahu menewaskan Argentina. Lebih-lebih lagi kami adalah juara dunia. Tiada istilah berehat, kami perlu memperbaiki apa yang kami lakukan selama ini.

“Objektifnya adalah untuk layak ke Piala Dunia sekali lagi. Kami sangat menikmati apa yang dilakukan tetapi kami perlu melihat ke hadapan,” katanya.

Jaringan Messi turut mengikatnya dengan rakan karib Luis Suarez dari Uruguay sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa dalam pertandingan kelayakan Amerika Selatan dengan 29 gol.-