Malaysia memastikan akan ada kilauan pingat dalam Kejohanan E-Sukan Komanwel selepas pasukan Dota 2 wanita negara layak ke pusingan grand final di Birmingham hari ini.

Pasukan itu, yang terdiri daripada barisan pemain Grills Gaming, iaitu Stephanie "Auroraa" Lim Yuen Lii, Nadrah "Nada" Saufi, Wong "HG" Wei Sian, Bette "iStarx" Chia Hooi Ping dan Tan "Shizuma" Lyn Xhin, mnenewaskan Singapura 2-0 dalam separuh akhir untuk layak membuat perhitungan akhir dengan England esok.

Malaysia kini merupakan pasukan pilihan untuk memenangi gelaran itu selepas melakar rekod bersih lima kemenangan setakat ini, termasuk ke atas tuan rumah.

Dianjurkan oleh Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) dan Persekutuan E-Sukan Global untuk dijalankan serentak dengan Sukan Komanwel Birmingham 2022, kejohanan berkenaan turut menampilkan permainan eFootball dan Rocket League.

Selain Grill Gaming, Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) turut menghantar pasukan Atlantis untuk bertanding dalam Dota 2 kategori terbuka.