Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Football League (MFL), Datuk Stuart Ramalingam, menyambut baik usaha Kedah Darul Aman untuk terus kekal beraksi dalam Liga Super.

Isnin lalu First Instance Body (FIB) mengesahkan Sang Kenari berjaya menyelesaikan bayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi tahun 2023 sebelum tarikh akhir yang ditetapkan 20 April lalu.

Bagaimanapun, dua pemain masih belum mendapat bayaran berikutan kes masih dalam perbicaraan FIFA dan Majlis Penyelesaian Resolusi Kebangsaan (NDRC) iaitu Lee Tuck dan Jonathan Balotelli.

Namun, semua bayaran tunggakan seperti yang diarahkan oleh FIB berjaya diselesaikan oleh KFA bagi membolehkan pasukan itu kekal mendapat lesen lebangsaan untuk beraksi dalam Liga Super 2024/2025.

"Kedah aset penting buat Liga Malaysia. Kami mahukan melihat mereka untuk terus bersaing dalam Liga Super," kata Stuart menerusi Nadi Arena.

Perkembangan itu sekaligus menyaksikan saingan Liga Super musim ini tetap menampilkan 13 pasukan dan jadual perlawanan yang sudah disusun tidak perlu dirombak sekali lagi.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Nafuzi Zain tetap akan memulakan saingan musim ini dengan negatif tiga mata susulan hukuman pemotongan tiga mata dan denda RM50,000 dikekalkan.