Sistem video bantuan pengadil (VAR) seharusnya menjadi satu keperluan selepas beberapa keputusan pengadil menjadi bahan pertikaian ketika aksi final Piala Malaysia di antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner, berkata keputusan pengadil menghadiahkan tiga penalti selain beberapa insiden mungkin boleh disemak semula sekiranya mempunyai VAR.

"Mungkin satu idea yang baik untuk menggunakan sistem VAR kerana dengan tiga penalti, pengadil boleh menyemaknya semula. Kita juga lihat ada beberapa cabaran yang dilakukan dalam aksi final ini.

"Saya fikir mungkin beberapa lagi kad kuning patut dilayangkan kepada pertahanan JDT tetapi saya tidak mahu bercakap terlalu banyak mengenai pengadil," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Dalam perlawanan itu, pengadil, S. Logeswaran, membuat beberapa keputusan yang menimbulkan persoalan, terutama penalti pertama JDT yang didakwa kekasaran yang terlalu 'lembut' dilakukan Azam Azmi Murad ke atas Fernando Forestieri.

Selain itu, beberapa insiden kekasaran yang dilakukan pemain JDT ke atas pemain TFC yang mungkin perlu dihadiahkan kad kuning.

Bagaimanapun, Steinbruckner berbangga dengan aksi yang dipamerkan pemainnya biarpun tewas 1-3 kepada JDT, yang sememangnya diketahui memiliki kualiti lebih baik.

Menurutnya, pemain TFC memberikan segalanya dalam perlawanan itu dan juga mampu menyaingi lawan.

"Tahniah kepada pemain saya yang beraksi dengan baik dan tahniah juga kepada JDT kerana memenangi perlawanan malam ini," katanya lagi.

--Sinar Harian