Pemain Selangor FC (SFC), Faisal Halim yang mengalami kelecuran tahap empat mungkin dibenarkan keluar dari sebuah hospital swasta di Shah Alam lebih awal iaitu dijangka pada minggu ini.

Bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan pakar bedah hospital berkenaan selepas pemain berusia 26 tahun itu menjalani pembedahan keempat pada Isnin.

Perkembangan tersebut dikongsi oleh Ketua Perubatan Sukan SFC, Dr Muhammad Hazwan Khair yang memberitahu, perkara itu perlu diteliti secara mendalam berdasarkan kondisi Faisal selepas selesai menjalani pembedahan berkenaan.

Beliau berkata, ia melibatkan pembedahan ‘split skin grafting‘ iaitu prosedur terakhir sebelum Faisal diberi perlepasan untuk keluar dari pusat perubatan tersebut.

“Hari ini (Isnin), Faisal menjalani pembedahan keempat dan difahamkan prosedur bermula pada jam 9 pagi. Proses selanjutnya kita kena tunggu dalam 48 hingga ke 72 jam untuk lihat status selepas pembedahan.

“Insya-ALLAH ini pembedahan terakhir dan keputusan untuk ‘discharge‘ lebih awal seperti yang dijangka merujuk kepada keputusan pakar bedah dan keadaan Faisal selepas pembedahan ini.
“Namun selepas Faisal keluar, dia akan menjalani proses rehab dikenali sebagai ‘musculoskeletal rehabilitation‘ yang memberi fokus terhadap prestasinya. Faisal sendiri tak sabar untuk keluar,” katanya ketika ditemui media di pekarangan hospital pada Isnin.

Faisal sebelum ini dilaporkan mungkin diberi pelepasan untuk keluar dari hospital dalam tempoh dua minggu dan perkembangan terbaharu itu menjadi satu petanda positif buat pemain yang memakai jersi nombor tujuh itu.
Muhammad Hazwan juga memaklumkan bahawa perkembangan lain Faisal menunjukkan pemain itu optimis untuk menjalani proses pemulihan sama seperti pesakit lain mahu segera pulih.

“Dia optimistik dan memang seperti pesakit lain, tidak mahu berada lama di hospital,” ujarnya.
Menyentuh mengenai proses pemulihan psikologi pemain kebangsaan itu, Muhammad Hazwan memberitahu bahawa perkara tersebut akan dibincangkan bersama dengan Institut Sukan Negara (ISN).

Faisal pada 5 Mei lalu menjadi mangsa simbahan asid sulfurik pekat ketika berada di sebuah pusat beli belah di Damansara, Petaling Jaya. -Sinar Harian