Ketua jurulatih, Gareth Southgate, berterima kasih kepada anak-anak buahnya kerana bermain mati-matian demi mendapatkan semula keyakinan selepas berjaya menewaskan Switzerland dalam pertemuan suku akhir Euro 2024, awal pagi tadi,

Skuad The Three Lions mengetepikan cabaran Switzerland 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas keputusan perlawanan berakhir 1-1 sebelum jaringan yang dilakukan oleh pemain Arsenal, Bukayo Saka, mengheret aksi tersebut ke masa tambahan.

Pengendali berusia 53 tahun itu merekodkan kemenangan ke-61 sejak mengambil alih tugas sebagai jurulatih England pada 2016 sekali gus mencatatkan perlawanan ke-100 baginya sebelum membawa pasukan itu ke peringkat separuh akhir.

"Saya mahu kami mendapatkan semula kredibiliti di pentas dunia. Jadi saya tidak boleh menafikan bahawa ia perkara yang sukar namun, kami akan terus bermain dengan cara kami.

"Kami tidak akan berhenti berjuang. Seperti yang saya katakan, kami telah layak ke separuh akhir dan kami akan lihat di mana kami boleh pergi."

"Saat-saat seperti inilah anda melihat kembali dan menjadikannya lebih berbaloi. Semuanya menjadi berbaloi jika anda boleh menyokongnya dan itulah yang perlu kita lakukan dalam beberapa hari akan datang."

"Secara keseluruhannya, ia mungkin persembahan terbaik kami dalam kejohanan itu. Kami sangat berbangga dengan pemain kami," katanya.