Pedri berharap rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Sepanyol, Nico Williams, akan menyertainya di Barcelona dalam masa terdekat selepas gandingan dua pemain itu menyerlah dalam Euro 2024 ketika ini.

Dua pemain muda La Roja itu menjadi tunggak permulaan cemerlang Sepanyol di Jerman, di mana mereka memenangi kesemua empat perlawanan setakat ini untuk layak ke suku akhir.

Williams menjaringkan gol solo gemilang ketika Sepanyol membenam Georgia 4-1 hujung minggu lalu, di mana dia menjadi pemain pertama (sejak 1980) menjaringkan gol, menghasilkan bantuan jaringan dan menyempurnakan 100 pertaus hantaran dalam satu perlawanan Euro.

Tuan rumah, Jerman, akan menjadi lawan seterusnya buat pasukan bimbingan Luis de la Fuente itu di peringkat suku akhir awal pagi Sabtu ini dan tanpa mengira keputusan perlawanan itu, Pedri mahu beraksi dalam LaLiga bersama Williams di bahagian sayap musim depan.

Barcelona dikaitkan untuk mendapatkan pemain Athletic Bilbao itu, yang turut menarik minat Liverpool, tetapi seorang lagi pemain sayap muda Sepanyol, Lamine Yamal, turut mencadangkan agar Williams ke Blaugrana.

Pedri jelas bersetuju dengan pandangan Yamal, di mana dalam satu temu bual bersama media Sepanyol, Mundo Deprtivo, dia berkata kemasukan Williams ke Barcelona akan memberikan satu impak luar biasa.

"Kami tidak banyak cakap mengenainya. Keputusannya akan dibuat olehnya dan Barca.

"Benar, amat jelas ia akan menjadi pembelian yang luar biasa.

"Kita sudah lihat apa yang mampu dilakukannya dalam Euro. Harap-harap dia akan dapat bersama kami tetapi kita masih tidak tahu kerana dia masih ada kontrak bersama Athletic.

"Apa yang perlu berlaku, pasti akan berlaku," katanya.