Ketua jurulatih Manchester United, Ruben Amorim, menegaskan bahawa dia perlu meraih kemenangan untuk membentuk identiti tersendiri bersama kelab itu.

Pengendali dari Portugal ini meninggalkan Sporting CP untuk menggantikan Erik ten Hag di Old Trafford, dia menjadi pengurus ketujuh yang mengambil alih United sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013 dengan Amorim akan membuat debut sebagai pengurus United dalam perlawanan liga menentang Ipswich Town, 24 November ini.

Dia juga menegaskan bahawa memiliki skuad muda bukan alasan untuk gagal mencapai keputusan yang diinginkan dalam jangka masa pendek.

"Saya tidak mahu mengatakan bahawa kami perlukan masa dengan alasan kami adalah pasukan muda. Mereka bersedia. Mereka bersedia untuk menghadapi tuntutan bermain untuk United. Mereka sepatutnya bersedia kerana mereka berada di sini," katanya.





Amorim, yang pernah memenangi tiga kejuaraan Liga Portugal bersama Benfica sebagai pemain, meninggalkan Sporting selepas meraih dua gelaran juara liga dan dua trofi Taca da Liga dalam tempoh hampir lima tahun sebagai pengurus.

Kini, Amorim mengambil alih United yang berada di tangga ke-13 Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 15 mata selepas 11 perlawanan serta hanya mencatat satu kemenangan daripada empat perlawanan di Liga Europa (UEL).

“Kami sedar bahawa kami memerlukan masa, tetapi untuk mendapatkan masa, kami perlu memenangi perlawanan. Namun, perkara yang paling penting bagi saya ialah identiti, dan kami akan mula membentuk identiti kami sendiri.

“Kami tahu ia akan mengambil masa, tetapi kami perlu bermula sejak hari pertama tanpa rasa takut, tanpa memikirkan bahawa mereka tidak biasa bermain seperti ini," katanya