Alisson menggesa Liverpool untuk mencipta sejarah tersendiri musim ini dan keluar daripada bayangan bekas pengurus, Jurgen Klopp, yang memacu pasukan itu menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Liverpool sedang menerajui EPL dengan enam mata di atas Arsenal dan berkelebihan satu perlawanan dalam tangan dalam usaha memburu kejuaraan liga pertama mereka sejak musim 2019-20.

Alisson memainkan peranan penting dalam pasukan yang memenangi dua kejuaraan itu selepas turut bersinar ketika Liverpool menjulang trofi UCL dalam musim pertamanya di Anfield pada 2019.

Dalam kempen kali ini, Alisson telah bermain sembilan perlawanan liga manakala Caoimhin Kelleher pula beraksi dalam lapan perlawanan sepanjang penjaga gol Brazil itu diketepikan gara-gara kecederaan otot.

Dia kembali ke dalam kesebelasan utama The Reds ketika mencatatakan kemenangan ke atas Girona dalam aksi UCL awal bulan ini.

Bercakap menjelang kunjungan Liverpool ke laman West Ham bagi aksi EPL awal pagi esok, Alisson berkata skuad bimbingan Arne Slot itu tidak boleh dibayangi dengan pencapaian pengurus terdahulu, Klopp.

"Pasukan ketika itu benar-benar istimewa," kata Alisson.

"Kami mencapai perkara yang hebat. Ia adalah kejuaraan EPL pertama selepas sekian lama.

"Kami juga memenangi UCL musim sebelumnya. Tidak boleh dibandingkan dengan kedua-dua situasi ini.

"Apa yang menggembirakan saya ialah kumpulan pemain ini – kami mempunyai kualiti untuk melakukan sesuatu yang istimewa. Perkara yang paling penting ialah komitmen yang diperlukan untuk memenangi sesuatu ada bersama mereka.

"Kami tidak perlu membandingkan diri kami dengan pasukan pada masa lalu. Kami perlu mencipta sejarah kami sendiri musim ini, dengan pasukan ini."