Selepas tewas kepada Negeri Sembilan Antlers, KPT-Masum Knights terpaksa menerima kekalahan kedua meskipun mempamerkan persembahan memukau berdepan Johor Tigris di Stadium Arena Larkin, Johor Bahru, sebentar tadi.

Perlawanan Kumpulan A Grand Prix Johor Emas Anuar Sepaktakraw League (STL) itu menyaksikan KPT-Masum Knights terlebih dahulu memimpin permainan dengan kedudukan 9-1 di set pertama.

Rejaman Hafifi Tajudin banyak menghasilkan mata penting, sekali gus menutup aksi tersebut dengan kemenangan 15-6.





Skuad tuan rumah tampak tertekan, namun sorakan peminat tempatan mengubah corak perhitungan tersebut yang memihak kepada Johor Tigris apabila jelas mempamerkan kebangkitan terpuji untuk mengikat kedudukan 1-1.

Tempoh satu jam 25 minit menjadi saksi kemenangan Johor Tigris apabila menoktahkan perjalanan KPT-Masum Knights di GP Johor dengan kejayaan 15-13 di set penentuan.

KPT-Masum Knights sah tersingkir ke saingan Divisyen 1 musim hadapan.