Pengurus Selangor Pistons, Syahril Rashid, mengesahkan pasukannya bakal diperkuatkan dengan dua bekas tonggak skuad kebangsaan iaitu tekong, Zulkifli Abdul Razak serta perejam, Khairol Zaman Zamir Akbar, dalam Kejohanan Emas Anuar Sepaktakraw League (STL) Champions Cup 2024.

'Sobey' yang beraksi bersama Terengganu Turtles dalam divisyen premier bakal menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh Aizat Nor Azmi sementara Khairol Zaman hadir selaku pengganti Muslim Ramli yang masih dalam proses pemulihan kecederaan buku lali.

Selangor Pistons muncul pasukan paling tekal musim ini selepas menjadi naib juara divisyen 1 selain mencipta kejutan menamatkan saingan divisyen premier dalam kelompok tiga pasukan terbaik.





"Aizat tidak cergas sementara Amirul Syafiq perlu tumpukan perhatian untuk menduduki peperiksaan akhir, manakala keadaan fizikal Muslim tidak dalam keadaan yang bagus ," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Dalam perkembangan sama, Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan, Wan Mohd Husni Abdullah, turut mengesahkan Negeri Sembilan Antlers akan menerima khidmat seorang perejam baru bagi menampung beban yang ditanggung kapten pasukan, Hafizul Hayazi Adnan.

Tanpa mendedahkan nama perejam tersebut, Wan Husni memberi bayangan berkemungkinan besar prospek muda Terengganu Turtles, Khairul Aman Rosdi sebagai calon paling hampir yang akan menyarung jersi Antlers bagi berdepan misi getir mempertahankan gelaran juara STL Champions Cup musim lalu.

"Pengurusan bersetuju kami perlu menampung Haziq yang nampak penat dalam perlawanan akhir Grand Prix Johor.

"Kami perlukan pemain berpengalaman, ketahanan dan kekuatan untuk bersama kami," katanya.