Ronaldo diuji positif COVID-19 sekali gus terlepas sambutan ulang tahun kelab Brazil yang dibelinya baru-baru ini, Cruzeiro.

Pemenang dua Ballon d'Or itu, yang merupakan penjaring gol terbanyak ketika Brazil menjulang Piala Dunia 2002, bagaimanapun hanya mengalami gejala ringan.

Ronaldo sepatutnya menghadiri acara sambutan ulang tahun ke-101 penubuhan Cruzeiro tetapi bekas penyerang Barcelona, ​​Real Madrid dan Inter berusia 45 tahun itu sebaliknya perlu menjalani kuarantin.

Kes positifnya diumumkan oleh kelab Brazil itu yang telah diambil alih oleh Ronaldo pada bulan ini menerusi sokongan sebuah bank pelaburan.

"Cruzeiro melaporkan bahawa Ronaldo Nazario diuji positif COVID-19," kata kelab Campeonato Serie B itu.

“Ini menyebabkan dia tidak dapat hadir ke majlis Belo Horizonte hari ini termasuk perlawanan sempena memperingati ulang tahun kelab.

"Ronaldo dalam keadaan sihat dengan mengalami gejala ringan dan atas nasihat perubatan, dia kini sedang rehat dan menjalani kuarantin."

Ronaldo merupakan pemilik majoriti saham kelab Sepanyol, Real Valladolid, sejak 2018 serta merangkap presiden kelab divisyen Segunda itu dan dia sepatutnya bertemu dengan wakil penyokong Cruzeiro sebelum jatuh sakit.

Dia memulakan kariernya di Cruzeiro sebelum menuju ke Eropah untuk menyertai gergasi Belanda, PSV, selepas Piala Dunia 1994.