Datuk Azizulhasni Awang sekali lagi mencetuskan sensasi apabila menjuarai saingan Piala Negara-Negara UCI di Adelaide, Australia dalam acara keirin, hujung minggu lalu.

Namun, ia memberikan satu tamparan buat dirinya apabila terpaksa menarik diri daripada acara pecut susulan alami simptom pericarditis iaitu keradangan jantung.

Bagaimanapun, ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley, memberikan perkhabaran positif apabila Azizulhasni tidak berdepan masalah serius dalam pemulihan dan bakal beraksi dalam kelayakan Sukan Olimpik di Hong Kong di pertengahan bulan depan.

"Jantungnya sukar berfungsi dengan lancar disebabkan ada cecair di sekitarnya.

"Pakar sedang mengusahakannya. Dia tahu keadaannya dengan baik. Dia lakukan yang terdaya dengan selamat dan mengawalnya.

"Dia seorang atlet motivasi jadi kami ambil langkah berwaspada dan juga sentiasa memantaunya.




"Yang penting keupayaannya dalam keadaan baik

"Ia tidak memberinya sebarang kesan, kami cuma perlu mengekalkan kesihatannya," katanya di Velodrom Nilai hari ini.