Ketua jurulatih wanita Sabah, Justin Ganai, mahukan pemainnya menikmati perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia Wanita (AWCL) menentang wakil Emiriah Arab Bersatu, Abu Dhabi Country Club, Rabu ini.

Walaupun menjangkakan satu lagi perlawanan yang sukar bagi pasukannya, namun perkara itu harus diambil sebagai cabaran. Untuk rekod, Sabah tewas dalam dua aksi pertama menentang Incheon Red Angels dari Korea Selatan dan pasukan tuan rumah Wuhan Jiangda.

Namun, Sabah masih mempunyai peluang untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya menerusi slot dua pasukan terbaik di tangga ketiga, namun misi itu sukar sukar apabila mereka harus menewaskan pasukan dari UAE itu dengan jumlah jaringan yang sangat besar.





Untuk rekod, ini merupakan kali pertama pasukan dari Malaysia layak ke kejohanan berprestij itu.

"Saya menjangkakan satu lagi perlawanan sukar esok menentang wakil UAE, kami melihat cara mereka bermain tetapi saya memberitahu pemain saya agar berikan aksi terbaik dan menikmati perlawanan.

"Ini adalah peluang terbaik buat mereka bersaing dengan kelab yang besar seperti Abu Dhabi. Kami tahu kami bukan di tahap sama tetapi ia bagus buat pasukan," katanya dalam sidang media pra perlawanan.





Dalam pada itu, pemain import sabah dari Jepun, Sakii Ueno, mahu memastikan perlawanan terakhir pasukannya mampu membawa kegembiraan kepada pasukan.

"Kami cuba lakukan yang terbaik, saya mahu menikmati dalam aksi esok." tambah Sakii Ueno.