Pelumba Honda Asia-Dream Racing with Astemo, Zaqhwan Zaidi, mahu menjadikan pengalamannya sejak usia kecil berlatih di laman sendiri sebagai tonik tambahan untuk meraih podium dalam pusingan kelima Idemitsu FIM Asia Road Racing Championship (ARRC) di Litar Sepang, bermula Jumaat ini.

Meskipun mengalami kecederaan dalam perlumbaan di China sebelum ini, Zaqhwan optimis dengan waktu rehat yang mencukupi kali ini dia mahu memberikan aksi terbaiknya.





"Litar Sepang daripada kecil lagi saya selalu berlatih di sana, jadi sudah berpengalaman. Saya yakin boleh berada di podium dan semestinya dengan kehadiran Hafizh Syahrin akan menghangatkan lagi jumlah kehadiran penonton.

"Saya lebih bersemangat untuk berlumba. Bagi saya tahun ini agak kurang baik selepas saya mengalami kemalangan di China menyebabkan saya cedera di tangan.

"Untuk perlumbaan kali ini di Sepang, saya dapat rehat lama jadi saya dapat tambah keyakinan untuk menang," katanya.

Dalam pada itu, pelumba Idemitsu Boon Siew Honda Racing Team, Helmi Azman, sedia untuk mengulangi sekali lagi pencapaiannya pada tahun 2022 sekali gus menyasarkan untuk meraih podium dalam kategori Superbike 1000cc.






"Kemenangan manis pada 2022, jadi tahun ini saya ingin memenangi sekali lagi. Saya harap di Sepang dan Thailand saya akan beraksi lebih baik. Sasaran saya raih podium.

"Semestinya kehadiran keluarga untuk menyaksikan kita berlumba semestinya akan beri motivasi dan jadi penambah semangat saya untuk berlumba nanti." katanya kepada Astro Arena.