BRAZIL 0 ARGENTINA 1

Argentina hampir sahaja menarik diri daripada bertemu Brazil dalam Kelayakan Piala Dunia 2026 berikutan kekecohan melibatkan penyokong sebelum sepak mula.


Argentina bertandang ke Maracana di Rio de Janeiro yang padat dengan penyokong untuk pertemuan kelayakan zon Amerika Selatan itu sebentar tadi.

Namun beberapa minit sebelum sepak mula, polis tempatan telah menggunakan baton untuk memukul penyokong pelawat yang kononnya merusuh gara-gara provoksi yang antaranya melibatnya lagu kebangsaan.

Ramai yang tercedera termasuk seorang terpaksa diangkat dengan pengusung sambil kepalanya berlumuran darah.

Ia berpunca daripada kelemahan pengurusan stadium Brazil sendiri yang tidak memisahkan penyokong pelawat seperti yang lazim diamalkan.



Insiden itu menarik perhatian pemain Argentina yang menyaksikan adegan tersebut di mata sendiri, malah ketua pasukan Brazil, Marquinhos, turut campur tangan.

Penjaga gol Argentina, Emi Martinez, sempat dihalang pegawai keselamatan sebelum ditenangkan oleh rakan sepasukan kerana ingin terlibat dalam perbalahan tersebut sebelum kem pelawat menuju ke bilik persalinan dan kekal di sana selama 22 minit.

Messi memberitahu: Kami akan meninggalkan tempat ini.

"Kami tidak beraksi dalam keadaan sebegini."

Sebaik keadaan reda, perlawanan pun akhirnya dimulakan yang menyaksikan gol kemenangan juara dunia itu tercipta pada minit ke-63 menerusi tandukan Nicolas Otamendi.