Sudah tujuh bulan berlalu, masih tiada perkhabaran mengenai jawapan kepada insiden yang menimpa permata bola sepak negara, Faisal Halim, Mei lalu.

Tragedi hitam itu semestinya memberi kesan mendalam kepada pemain kelahiran Pulau Pinang tersebut yang hampir meragut nyawanya.

Namun, kebangkitan menakjubkan yang dipamerkan tonggak utama Selangor itu cukup memberi inspirasi seperti kalimat yang diungkapkan pengulas terkemuka Astro Arena, Wan Khairil Azwa: 'Kecil jangan di sangka kosong, besar jangan di sangka penuh berisi'.

Ironinya, jaringan ketika perlawanan menentang Korea Selatan dalam Piala Asia Qatar 2023 merupakan detik terbaik dalam kancah bola sepak negara.

Di sebalik perjalanan penuh derita itu, peminat tempatan tidak berselindung merindukan sentuhan gelecekannya lebih-lebih lagi menyarung kembali jersi keramat bernombor tujuh Harimau Malaya.

Kemesraan di luar padang mahupun senyuman ketika perlawanan membuktikan Miki seorang pemain bola sepak profesional negara yang disenangi ramai.

Kes simbahan asid kekal misteri dan tiada sebarang perkembangan terkini meskipun mendapat perhatian seantero dunia.

Apakah kenyataan pahit manis yang dilalui pemain bertubuh kecil itu?

Ulasan kisah Faisal Halim 'TU7UH' mempersembahkan perjalanan jatuh bangunnya sebelum kembali diberikan peluang kedua untuk mempamerkan kehebatan menghangatkan suasana stadium.



Saksikan kupasan dibawakan khas oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, secara eksklusif pada 31 Disember ini.