Krisis kecederaan Manchester United berterusan dengan Alejandro Garnacho, Bruno Fernandes, Marcus Rashford dan Scott McTominay masing-masing menghadapi isu kecederaan tersendiri dan khidmat mereka diragui untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Sheffield United, awal pagi esok.

Kelibat Casemiro sekali lagi mungkin dituntut untuk mengisi bahagian pertahanan, manakala bangku simpanan United di hujung minggu menampilkan lima pemain remaja termasuk Amad Diallo.

"Kami akan menurunkan pemain yang mampu membantu memenangi perlawanan ini walaupun kami perlu benar-benar kreatif," kata Ten Hag.

Salah seorang pemain yang dijangka dipertaruhkan dalam kesebelasan utama ialah Diallo, 21, yang telah beraksi lima kali sebagai pemain gantian sejak beberapa bulan lalu.

“Amad berhak mendapatnya tetapi jangan lupa dia mengalami kecederaan yang panjang pada musim ini.



"Jadi kami perlu membina semula momentumnya dan kini dia mempunyai beberapa peluang dan boleh memberi sumbangan sebenar.

“Dia bermain di posisi yang bukanlah merupakan kedudukan terbaiknya. Dia bermula sebagai penyerang tetapi perlu bermain di bahagian tengah, jadi dia melakukannya dengan baik.

"Kami mempunyai beberapa pemain di jentera serangan jadi terdapat persaingan sengit.

“Tetapi saya sangat gembira dengan persembahannya dan kemajuannya, saya melihat kualiti dan asetnya benar-benar boleh menyumbang kepada permainan kami.”