Prestasi hambar skuad negara pada Kejohanan Hoki Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Hulunbuir, Inner Mongolia, China, ketika ini memberi isyarat jelas buat Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang perlu menetapkan sasaran buat jurulatih, Sarjit Singh.
Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, sejak dilantik membimbing skuad Speedy Tigers Mac tahun lalu, tempoh berbulan madu buat jurulatih berusia 62 tahun itu sudah berakhir.
Dia berkata, MHC perlu menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) buat Sarjit kerana ia penting bagi memastikan Malaysia berada di landasan terbaik menuju ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
“Speedy Tigers membuat persediaan untuk ke ACT apabila melakukan Jelajah Eropah pada Jun dan Julai lalu dengan mengadakan perlawanan persahabatan bersama Belgium, Jerman dan Belanda.
“Menerusi siri jelajah itu kita meletakkan harapan yang tinggi, namun sebaliknya Sarjit macam masih dalam tempoh berbulan madu. MHC tidak letak KPI, ini keputusan yang kita dapat (terlepas aksi separuh akhir ACT), sedangkan Malaysia finalis edisi lalu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal ketika mengumumkan Sarjit sebagai ketua jurulatih baharu pada Mac 2023 tidak meletakkan sebarang petunjuk prestasi utama (KPI) sebaliknya mahu pengendali itu membentuk barisan kejurulatihan serta pemain dan membina sistem terlebih dahulu.
Dalam saingan ACT, Malaysia akan menentang Jepun bagi penentuan tempat kelima dan keenam hari ini.
Skuad Speedy Tigers tewas 2-4 kepada China, dibelasah India 1-8, terikat 2-2 dengan Pakistan, seri 3-3 menentang Korea Selatan dan menang 5-4 ke atas Jepun.
Justeru Pekan juga berharap Sarjit tidak mencari salah menuding jari kepada mana-mana pihak di atas kegagalan tersebut kerana para pemain yang dibawa ke ACT adalah pilihannya.
Malah dia juga tidak melihat tanda-tanda positif yang dipamerkan skuad negara apabila masih bergantung kepada beberapa pemain senior, manakala barisan pemain muda pula gagal menonjol dengan baik.
Sebagai rekod, Malaysia yang merupakan juara Piala Sultan Azlan Shah 2023, terpaksa berpuas hati di tempat ketiga pada musim ini, manakala Piala Negara-Negara di Poland Jun lalu sekadar menghuni tempat ketujuh.
Di sebalik prestasi itu, Pekan berharap program pembangunan skuad pelapis atau feeder team terus diperkasa dengan dibarisi pemain berbakat yang perlu didedahkan dengan banyak kejohanan di pentas antarabangsa.
Tambahnya, kepelbagaian kaum dalam skuad hoki ketiga zaman gemilang Malaysia satu masa dahulu perlu dikembalikan bagi membina semula keseimbangan dalam pasukan daripada aspek kemahiran individu, kepantasan, fizikal serta emosi.
“Barisan pemain muda bukan boleh tangkap muat, ada kejohanan tarik mereka masuk (skuad senior), tetapi mereka perlu bersedia pada bila-bila masa dengan persiapan yang mantap.
“Dahulu skuad hoki dibarisi pelbagai bangsa, masing-masing ada kekuatan dan kelemahan. Ia disatukan dalam pasukan dan Malaysia digeruni di pentas dunia. Era itu perlu dikembalikan semula,” katanya.
Kredit -- Sinar Harian