LION CITY SAILORS 2 PERSIB BANDUNG 3

Persib Bandung meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) apabila menewaskan kelab Singapura, Lion City Sailors, 3-2 di Stadium Jalan Besar malam tadi.

Wakil Indonesia itu mempamerkan kebangkitan luar biasa selepas ketinggalan dua gol dalam babak pertama, di mana mereka menjaringkan tiga gol dalam 10 minit terakhir -- dua daripadanya dalam waktu kecederaan.

Shawal Anuar membuka jaringan buat Sailors seawal minit kesembilan sebelum Maxime Lastienne menggandakan kelebihan itu pada minit ke-23.

Segalanya nampak baik buat Sailors untuk memperoleh satu lagi kemenangan dalam saingan Kumpulan F itu tetapi arus perlawanan berkenaan mula berubah menuju ke penghujung permainan.

David da Silva memulakan kebangkitan luar biasa Persib dengan jaringannya pada minit ke-82 sebelum Mateo Kojican dan Tyronne del Pino menjaringkan gol dalam waktu kecederaan untuk memberikan kemenangan pertama kelab Bandung berkenaan.

Kemenangan itu menyaksikan Persib kini mengumpulkan empat mata daripada empat perlawanan untuk menduduki tangga ketiga Kumpulan F, tiga mata di belakang Sailors, yang menduduki tangga kedua.